Sunday, September 11, 2011

Bawang Goreng Wangi & Rangup

Kupas bawang, rendam dalam air garam selama 10 minit. Kemudian bilas sebelum dihiris nipis-nipis. Masukkan tepung gandum (mengikut kuantiti bawang) dan gaul rata. Goreng bawang tersebut atas api sederhana sehingga garing. Selepas itu simpan dalam bekas kedap udara. Insya-Allah bawang goreng akan tahan lebih lama, lebih wangi dan rangup.

Petua Menghilangkan Bau Busuk Kereta

Ada kala makanan yang anda bawa ketika membeli belah atau pulang dari kampung meninggalkan bau tidak enak untuk jangka masa lama dalam kereta. Contohnya, bau durian sukar hilang jika dibawa dalam kereta berhawa dingin. Untuk mengatasinya, ambil beberapa keping roti sandwich dan letakkan dalam bonet kereta untuk beberapa hari. Jika baunya masih belum hilang, ganti dengan roti baru sehingga baunya tiada lagi. Insya-Allah terbukti berkesan.

Tuesday, March 15, 2011

Gigi Putih Berseri

Senyuman yang menawan adalah bermula dari gigi yang putih bersih. Bagi anda yang berhasrat memutihkan gigi, cuba amalkan petua ini. Goreng biji asam jawa tanpa minyak sehingga kehitaman. Kemudian, tumbuk sehingga menjadi serbuk. Gosok pada gigi pada setiap hari sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya.

Biji Cili Mudah Hancur

Cili yang telah dikisar pasti kurang menarik jika bijinya masih kelihatan. Untuk mendapatkan cili kisar yang halus tanpa biji, gunakan minyak masak. Caranya, ketika ingin mengisar cili, masukkan sedikit minyak masak. Kemudian, kisar seperti biasa. Insya-Allah, cili kisar anda bukan sahaja kelihatan halus, malah warnanya juga lebih menarik.

Monday, March 14, 2011

Rendang Tok

BAHAN-BAHAN:
  • 1 kg daging
  • 100 gram bawang merah - dihiris
  • 80 gram bawang putih- dihiris
  • 80 gram halia - dimayang
  • 1/2 biji isi kelapa - dihiris 5 sm
  • 60 ml pati santan
  • 300 gram kerisik kelapa
  • 5 gram gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 15 gram serbuk ketumbar - dikisar
  • 15 gram serbuk cili - dikisar
  • 10 gram jintan putih - dikisar
  • 10 gram jintan manis - dikisar
  • 20 gram serbuk kari daging - dikisar
  • 5 gram lada hitam - dikisar
  • 10 biji buah pelaga - dikisar
  • 5 sm kulit kayu manis - dikisar
  • 5 kuntum bunga cengkih - dikisar
CARA MEMBUATNYA:
  1. Gaul rata semua bahan kecuali daging, garam dan gula melaka.
  2. Selepas rata barulah dimasukkan daging. Perap selama dua hingga empat jam.
  3. Masukkan ke dalam periuk dan didihkan perlahan-lahan.
  4. Reneh selama tiga jam. Kacau dengan kerap sehingga daging menjadi empuk, berwarna agak hitam dan kering.
  5. Masukkan gula melaka dan garam. Kacau lagi hingga rata.

Garam Hindar Bau Mulut

Mulut berbau memang memalukan. Ia bukan saja mengganggu percakapan malah mendatangkan perasaan rendah diri. Bagi mengatasi masalah mulut berbau ini, ambil satu cawan air panas dan satu sudu teh garam. Kacau sampai sebati. Kumur dan kemudian cuci mulut menggunakan berus gigi. Amalkan selalu, pagi dan malam sebaiknya tiga kali sehari. Insya-Allah, mulut berbau akan beransur hilang.

Saturday, March 5, 2011

Hilangkan Bau Kambing Dalam Masakan

Daging kambing memang enak dimakan. Namun, jika tidak kena pada gaya memasaknya, pasti hidangan kambing sedikit berbau. Cuba petua ini. Ambil sebiji limau nipis, perah dan ambil jus dan kulitnya. Perap bersama daging kambing selama beberapa minit. Kemudian, cuci dengan menggunakan tepung gandum sehingga bersih. Masakan kegemaran anda pastinya lebih enak dan tidak lagi berbau.

Petua Hilangkan Jerawat

Setiap wanita sudah tentu inginkan kulit muka yang licin, bersih dan cantik. Jika muka kita ditumbuhi jerawat sudah tentu mencacatkan kulit wajah dan kelihatan hodoh. Caranya ialah ambil sebuku kunyit sebesar ibu jari. Cuci hingga bersih kemudian tumbuk sehingga halus. Setelah itu campurkan dengan bedak sejuk yang telah dicairkan. Sapukan ke muka atau belakang yang ditumbuhi jerawat pada malam hari, hasilnya jerawat anda akan mengecut pada esok harinya. Setelah itu cucilah muka anda dengan air suam. Ulang sehingga jerawat anda benar-benar sembuh. Insya-Allah, jerawat akan hilang.

Friday, March 4, 2011

Tip Ideal Untuk Kek & Biskut

  1. Pilih bahan-bahan yang berkualiti supaya biskut dan kek yang dihasilkan memuaskan hati.
  2. Timbang bahan-bahan mengikut resepi. Jangan mencampurkan bahan-bahan mengikut gerak hati. Bimbang kek dan biskut tidak menjadi.
  3. Untuk bahan-bahan yang disimpan di dalam peti sejuk seperti mentega dan telur, keluarkan terlebih dahulu bahan-bahan itu sebelum digunakan hingga suhunya mencapai suhu bilik.
  4. Gunakan ketuhar ketika suhunya sudah mencapai suhu yang diinginkan.
  5. Untuk mendapatkan kek dan biskut yang baik, gunakan tepung gandum yang bermutu tinggi. Untuk kek gunakan tepung gandum berprotein sederhana manakala untuk biskut gunakan tepung gandum berprotein rendah. Ayak terlebih dahulu tepung sebelum digunakan.
  6. Sapukan loyang pembakar dengan mentega dan tabur dengan tepung jagung bagi memudahkan biskut dan kek dikeluarkan dari loyang.
  7. Biarkan kek dan biskut sehingga dingin kemudian baru keluarkan dari loyangnya agar kek dan biskut tidak hancur. Ketika menghias kek, pastikan kek dan biskut dalam keadaan sejuk.

Cara Simpan Cili Kisar

Rebus cili selama 5 minit sebelum dikisar. Kemudian basuh bersih dan kisar. Setelah itu masak cili dengan sedikit minyak dan garam hingga separuh masak. Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan harian. Cili kisar bukan sahaja tahan lama tetapi juga enak rasanya.

Saturday, February 19, 2011

Bawal Golek

BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan bawal dilumur garam dan kunyit - dibakar dan diketepikan
1/2 cawan bawang merah yang telah dikisar
2 sudu besar bawang putih yang telah dikisar
2 inci halia
2 sudu besar halba
2 cawan santan pekat
3 sudu besar cili kisar
1 keping asam keping


CARA MEMBUATNYA :
  1. Masukkan santan dalam kuali bersama dengan bawang merah dan bawang putih yang dikisar. Kacau.
  2. Selepas itu masukkan halba.
  3. Seterusnya masukkan cili kisar dan asam keping. Tambahkan dengan garam dan gula. Kacau selalu untuk mengelakkan kuah hangit.
  4. Setelah kuah pekat dan masak, curahkan ke atas ikan bawal yang dibakar tadi.

Udang Segar Dan Tahan Lama

Udang memang jarang tahan lama jika disimpan di dalam peti sejuk. Tapi sebenarnya ada cara yang boleh dipraktikkan untuk memastikan ia segar dan tahan lama. Caranya, bersihkan udang tanpa disiang bersama sedikit tepung gandum untuk menghilangkan bau hanyir. Kemudian masukkan udang ke dalam bekas bersama air dan sedikit gula pasir. Simpan di bahagian beku dalam peti sejuk. Udang akan tahan lebih lama sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan.

Wednesday, February 16, 2011

Petua Untuk Kulit Tegang Tapi Lembut

Goreng beras pulut hitam sehingga setiap biji beras itu pecah dan menjadi putih. Sejukkan beras pulut yang digoreng tadi, kemudian kisar hingga halus. Untuk setiap kali penggunaan, ambil sedikit beras yang dikisar dan campurkan dengan air suam dan sedikit perahan limau nipis. Jadikan seperti skrub dan sapukan ke wajah setiap malam sebelum tidur. Insya-Allah berkesan! Sharing is caring.

Sedapkan Kuah Mi Kari

Bagi penggemar mi kari, semasa menyediakan kuah kari, ada cara untuk menyedapkan kuahnya. Ambil sedikit ikan bilis yang telah dibersihkan, kisar sehingga hancur. Kemudian, masukkan ke dalam kuah kari selepas garing bahan tumis. Selepas itu barulah dimasukkan santan. Cara ini akan menyedapkan lagi kuah mi kari anda.

Saturday, February 12, 2011

BBQ Chicken Wings

BAHAN-BAHAN:
4 ketul kepak ayam (dicuci bersih dan dikeringkan)
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil sos tomato
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu besar cuka makan atau jus lemon
1 sudu besar madu lebah asli
1 sudu besar minyak zaitun
Secubit serbuk stok ayam
Garam secukup rasa

CARA MEMBUAT:
  1. Campurkan semua bahan di atas bersama kepak ayam. Gaul rata dan perapkan sekurang-kurangnya 1 jam di dalam peti sejuk.
  2. Panggang kepak ayam di atas gril yang panas selama 10 hingga 15 minit, bergantung kepada saiz kepak ayam.
  3. Angkat dan hidangkan bersama sos pilihan anda.

Kunyit Hidup Legakan Selesema Bayi

Bayi mudah meragam dan tidak selesa apabila selesema. Salah satu cara untuk mengatasinya, adalah dengan menggunakan kunyit hidup. Tumbukkan sedikit kunyit hidup dan sapukan pada batang hidung bayi. Insya-Allah selesema akan hilang.

Friday, February 11, 2011

Elak Rambut Gugur

  1. Elak daripada menyikat atau mengikat rambut terlalu kuat kerana folikel rambut akan mudah rapuh dan tertanggal.
  2. Bagi anda yang bertudung, pastikan anda menyikat rambut terlebih dahulu sebelum mengenakan tudung.
  3. Pilih sikat yang bergigi jarang bagi mengelakkan rambut kusut mudah tersangkut dan akhirnya putus.
  4. Sesekali ubah gaya menyikat dan sisiran rambut anda untuk mencegah rambut daripada gugur.
  5. Jika mengeringkan rambut dengan pengering, pastikan suhunya rendah dan jaraknya antara 10 hingga 15 sentimeter. Ini untuk menjaga permukaan kulit daripada berwap dan batang rambut mudah putus.
  6. Gunakan bahan semula jadi seperti santan, aloe vera, minyak zaitun, minyak kelapa atau perahan limau purut secara berkala untuk mencuci rambut anda.
  7. Kurangkan mengambil terlalu banyak vitamin A atau E yang dapat menyumbang kepada keguguran rambut, sebaliknya tingkatkan pemakanan yang berasaskan protein.
  8. Rambut yang basah akan senang putus, oleh itu biarkan rambut mengering secara semula jadi sebelum anda menyisirnya dengan berus atau sikat.

Petua Luruskan Rambut Kerinting

Rambut kerinting mudah kusut dan kurang menarik. Untuk cuba meluruskan rambut cubalah petua ini. Parut sebiji kelapa tua, ambil santan perahan pertama menggunakan segelas air suam. Campurkan santan dengan perahan air limau nipis dan kemudian simpan dalam peti sejuk. Gunakan santan ini sebagai krim rambut. Sapukan ke rambut dengan cermat kemudian cuci bersih. Cuba selama seminggu dan lihat hasilnya.

Menanggalkan Ulat Pada Sayur

Kadang-kadang kita mengambil masa yang lama untuk membersihkan sayur kerana takut masih ada telur-telur atau ulat-ulat yang masih melekat. Sekurang-kurangnya, tiga kali basuhan sehinggalah kita yakin ia bersih. Disebabkan itu, kita telah menggunakan air yang banyak. Cara yang mudah untuk menanggalkan kotoran dan ulat pada sayur ialah dengan membasuhkan sayur itu dengan air sepintas lalu. Kemudian anda rendamkan sayur tadi ke dalam besen dan masukkan sedikit garam dan cuka. Biarkan seketika dan anda akan dapati kotoran keluar termasuklah ulat-ulat dan telur-telurnya sekali. Sharing is caring.

Wednesday, February 9, 2011

Petua Bersihkan Daging Arnab

Daging arnab memang enak dimakan. Tapi masalahnya, bau daging arnab agak hamis dan pasti ini akan mengurangkan selera makan anda. Untuk mengelakkan bau hamis daging arnab, perap daging arnab yang telah dibersihkan dan dipotong bersama daun serai, daun limau purut dan daun pandan yang telah ditumbuk. Kemudian, bersihkan kembali daging tersebut dengan air yang dicampurkan tepung gandum dan asam limau. Insya-Allah, daging tidak akan berbau hamis lagi.

Belimbing Lembutkan Tangan

Ambil 2 biji buah belimbing yang telah gugur atau masak ranum. Gosokkan dan ramas buah tadi perlahan-lahan dengan kedua belah tangan sehingga habis dan biarkan ia kering seketika. Setelah itu, bolehlah dicuci sehingga bersih. Amalkan selalu pasti tangan anda tidak lagi kasar.

Monday, February 7, 2011

Ulam Kekal Rangup

Rendam ulam selama beberapa minit dalam air yang telah dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biarkan seketika barulah diangkat. Ulam tetap segar dan rangup biarpun telah lama dibeli.

Petua Kurangkan Perut Buncit

Ambil satu atau dua keping asam keping. Masukkan ke dalam segelas air panas. Biarkan selama beberapa jam sehingga asam keping itu kembang dan air menjadi suam. Selepas itu bolehlah diminum setiap pagi dan malam. Amalkan selalu minum air asam keping ini, masalah perut buncit akan berkurangan.

Saturday, February 5, 2011

Simpan Ikan Tanpa Peti Sejuk

Kalau tiada peti sejuk atau kemungkinan bekalan elektrik terputus, ada cara untuk mengelakkan ikan menjadi busuk sekurang-kurangnya untuk tempoh sehari. Caranya dengan menggaulkan ikan itu dengan nasi sejuk dan sedikit garam. Pada keesokan harinya, basuhlah ikan itu dan masak seperti biasa.

Petua Payudara Kekal Cantik

Setiap wanita yang telah melahirkan anak, tentu mengalami masalah payudara yang kendur dan 'jatuh'. Untuk mengatasi masalah ini, puan bolehlah mencuba petua untuk mendapatkan payudara yang segar, halus dan kulitnya anjal dengan memanaskan 1 sudu minyak sapi. Setelah menjadi minyak, sapukan minyak ini ke payudara dan urut selama 15 minit. Selepas itu, lap dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam. Jika rajin mengamalkannya, anda akan dapat merasai perubahannya. Sharing is caring.

Friday, February 4, 2011

Sedapkan Sambal Tumis

Kisar lada kering bersama sedikit sedikit belacan. Sementara itu goreng ikan bilis bersama bawang besar sehingga garing. Angkat dan ketepikan. Kemudian goreng lada kisar, biarkan betul-betul masak. Lepas itu baru masukkan ikan bilis tadi bersama dua sudu kerisik. Biarkan hingga pecah minyak. Anda akan rasa kelainan sambal tumis anda. Selamat mencuba!

Petua Atasi Kuku Rapuh

Wanita zaman ini gemar memakai pewarna kuku. Kekerapan memakai pewarna kuku akan mengakibatkan kuku menjadi kuning dan tampak tak bermaya. Kuku juga mudah rapuh. Untuk mengatasinya, cubalah petua ummi ini. Sediakan air suam yang dicampurkan dengan perahan air limau nipis. Kemudian, rendamkan kuku ke dalam air tersebut selama 15 minit. Lakukan 2 kali seminggu. Warna kuning pada kuku akan hilang dan ia juga boleh menguatkan kuku yang rapuh.

Wednesday, February 2, 2011

Cairkan Kepingan Coklat Dan Mentega

Mentega atau kepingan coklat yang dicairkan secara mengejut di dalam kuali akan membuatkan ia mudah hangus dan melekat pada permukaan kuali. Untuk mencairkan mentega atau kepingan coklat dengan sempurna, letakkan mentega atau kepingan coklat di dalam mangkuk. Kemudian, masukkan ke dalam kuali berisi air. Aras air mestilah di bawah aras mangkuk agar ia tidak masuk ke dalam mangkuk. Panaskan di atas api yang kecil dan lihatlah hasilnya. Selamat mencuba. Sharing is caring.

Petua Agar Kuku Berkilat

Ummi percaya ramai yang inginkan kuku yang sentiasa berkilat. Ummi ada caranya. Ambil beberapa ketul bawang putih, tumbuk sehingga separuh lumat. Tambahkan sedikit madu lebah, gaulkan bersama dan balut atau letak pada jari kuku hingga kering. Anda dapat lihat keberkesanannya. Sharing is caring.

Miliki Kulit Segar & Sihat

1.  Banyakkan Minum Air
  • Minum air suam sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas sehari. Ia membantu sistem perkumuhan dan member, letih dan sembabsihkan sisa-sisa kotoran yang tidak diperlukan oleh tubuh malah dikeluarkan melalui kulit.
2.  Tidur Secukupnya
  • Pastikan tidur anda cukup antara 8 hingga 10 jam sehari. Lupakan segala tekanan kerja. Tidur yang tidak cukup akan menyebabkan kulit muka akan kusam, berkedut, letih dan sembab
3.  Rutin Pembersihan
  • Pastikan kulit muka dicuci dan dibersihkan dua kali sehari bagi mengekalkan kecantikan wajah. Gunakan pencuci, penyegar dan pelembap muka yang bersesuaian dengan jenis kulit. 
4.  Lakukan Senaman
  • Beriadah atau melakukan senaman seperti berjalan kaki, berjoging atau menunggang basikal dapat meningkatkan tenaga dan membantu aliran darah.

Tuesday, February 1, 2011

Bersihkan Karat Kuali Dan Periuk

Salam semua, ummi percaya ramai antara para suri rumah yang sering menghadapi masalah kuali atau periuk yang berkarat setelah sekian lama tidak menggunakannya. Untuk menghilangkan karat tersebut, mari cuba petua ini. Ambil segenggam asam jawa dan masukkan ke dalam kuali atau periuk yang berkarat tadi. Gosok seperti anda mencuci dengan sabun sehingga bersih. Insya-Allah, pasti berhasil. Sharing is caring.

Petua Menegangkan Kulit Muka

Selamat bertemu kembali. Pastinya ramai di antara kita semua yang inginkan kulit muka sentiasa tegang. Ummi ada petua yang boleh dijadikan amalan oleh kita semua. Caranya ialah tumbuk halus sedikit kulit kayu manis, seketul kunyit hidup dan sedikit beras pulut. Sapukan 2 kali seminggu pada muka dan leher sebelum tidur. Selamat mencuba! Sharing is caring.

Monday, January 31, 2011

Petua Awet Muda

Bagi wanita pastinya isu penampilan dan kecantikan sering dititikberatkan. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana menjaga dan mengekalkan kecantikan itu agar sentiasa kekal ketika di usia tua. Caranya ialah amalkan meminum sup kaki ayam sewaktu usia muda lagi seminggu sekali. Hasilnya usia 50-an akan kelihatan segar dan cantik seperti 30-an. Selamat mencuba! Sharing is caring.

Salam Perkenalan

Salam perkenalan kepada semua. Kenali saja diri saya sebagai Ummi. Ini adalah coretan pertama ummi. Tujuan ummi menulis blog ini adalah kerana ingin berkongsi petua orang dulu-dulu dengan anda semua. 'Sharing Is Caring', ungkapan inilah yang membuatkan ummi terpanggil untuk berkongsi apa yang ummi ketahui dengan anda semua. Cukuplah setakat ini saja coretan ummi, sehingga bertemu lagi di lain waktu. Selamat berkenalan semua.