Tuesday, March 15, 2011

Gigi Putih Berseri

Senyuman yang menawan adalah bermula dari gigi yang putih bersih. Bagi anda yang berhasrat memutihkan gigi, cuba amalkan petua ini. Goreng biji asam jawa tanpa minyak sehingga kehitaman. Kemudian, tumbuk sehingga menjadi serbuk. Gosok pada gigi pada setiap hari sehingga anda berpuas hati dengan hasilnya.

Biji Cili Mudah Hancur

Cili yang telah dikisar pasti kurang menarik jika bijinya masih kelihatan. Untuk mendapatkan cili kisar yang halus tanpa biji, gunakan minyak masak. Caranya, ketika ingin mengisar cili, masukkan sedikit minyak masak. Kemudian, kisar seperti biasa. Insya-Allah, cili kisar anda bukan sahaja kelihatan halus, malah warnanya juga lebih menarik.

Monday, March 14, 2011

Rendang Tok

BAHAN-BAHAN:
  • 1 kg daging
  • 100 gram bawang merah - dihiris
  • 80 gram bawang putih- dihiris
  • 80 gram halia - dimayang
  • 1/2 biji isi kelapa - dihiris 5 sm
  • 60 ml pati santan
  • 300 gram kerisik kelapa
  • 5 gram gula melaka
  • Garam secukup rasa
  • 15 gram serbuk ketumbar - dikisar
  • 15 gram serbuk cili - dikisar
  • 10 gram jintan putih - dikisar
  • 10 gram jintan manis - dikisar
  • 20 gram serbuk kari daging - dikisar
  • 5 gram lada hitam - dikisar
  • 10 biji buah pelaga - dikisar
  • 5 sm kulit kayu manis - dikisar
  • 5 kuntum bunga cengkih - dikisar
CARA MEMBUATNYA:
  1. Gaul rata semua bahan kecuali daging, garam dan gula melaka.
  2. Selepas rata barulah dimasukkan daging. Perap selama dua hingga empat jam.
  3. Masukkan ke dalam periuk dan didihkan perlahan-lahan.
  4. Reneh selama tiga jam. Kacau dengan kerap sehingga daging menjadi empuk, berwarna agak hitam dan kering.
  5. Masukkan gula melaka dan garam. Kacau lagi hingga rata.

Garam Hindar Bau Mulut

Mulut berbau memang memalukan. Ia bukan saja mengganggu percakapan malah mendatangkan perasaan rendah diri. Bagi mengatasi masalah mulut berbau ini, ambil satu cawan air panas dan satu sudu teh garam. Kacau sampai sebati. Kumur dan kemudian cuci mulut menggunakan berus gigi. Amalkan selalu, pagi dan malam sebaiknya tiga kali sehari. Insya-Allah, mulut berbau akan beransur hilang.

Saturday, March 5, 2011

Hilangkan Bau Kambing Dalam Masakan

Daging kambing memang enak dimakan. Namun, jika tidak kena pada gaya memasaknya, pasti hidangan kambing sedikit berbau. Cuba petua ini. Ambil sebiji limau nipis, perah dan ambil jus dan kulitnya. Perap bersama daging kambing selama beberapa minit. Kemudian, cuci dengan menggunakan tepung gandum sehingga bersih. Masakan kegemaran anda pastinya lebih enak dan tidak lagi berbau.

Petua Hilangkan Jerawat

Setiap wanita sudah tentu inginkan kulit muka yang licin, bersih dan cantik. Jika muka kita ditumbuhi jerawat sudah tentu mencacatkan kulit wajah dan kelihatan hodoh. Caranya ialah ambil sebuku kunyit sebesar ibu jari. Cuci hingga bersih kemudian tumbuk sehingga halus. Setelah itu campurkan dengan bedak sejuk yang telah dicairkan. Sapukan ke muka atau belakang yang ditumbuhi jerawat pada malam hari, hasilnya jerawat anda akan mengecut pada esok harinya. Setelah itu cucilah muka anda dengan air suam. Ulang sehingga jerawat anda benar-benar sembuh. Insya-Allah, jerawat akan hilang.

Friday, March 4, 2011

Tip Ideal Untuk Kek & Biskut

  1. Pilih bahan-bahan yang berkualiti supaya biskut dan kek yang dihasilkan memuaskan hati.
  2. Timbang bahan-bahan mengikut resepi. Jangan mencampurkan bahan-bahan mengikut gerak hati. Bimbang kek dan biskut tidak menjadi.
  3. Untuk bahan-bahan yang disimpan di dalam peti sejuk seperti mentega dan telur, keluarkan terlebih dahulu bahan-bahan itu sebelum digunakan hingga suhunya mencapai suhu bilik.
  4. Gunakan ketuhar ketika suhunya sudah mencapai suhu yang diinginkan.
  5. Untuk mendapatkan kek dan biskut yang baik, gunakan tepung gandum yang bermutu tinggi. Untuk kek gunakan tepung gandum berprotein sederhana manakala untuk biskut gunakan tepung gandum berprotein rendah. Ayak terlebih dahulu tepung sebelum digunakan.
  6. Sapukan loyang pembakar dengan mentega dan tabur dengan tepung jagung bagi memudahkan biskut dan kek dikeluarkan dari loyang.
  7. Biarkan kek dan biskut sehingga dingin kemudian baru keluarkan dari loyangnya agar kek dan biskut tidak hancur. Ketika menghias kek, pastikan kek dan biskut dalam keadaan sejuk.

Cara Simpan Cili Kisar

Rebus cili selama 5 minit sebelum dikisar. Kemudian basuh bersih dan kisar. Setelah itu masak cili dengan sedikit minyak dan garam hingga separuh masak. Sejukkan dan simpan dalam peti sejuk untuk kegunaan harian. Cili kisar bukan sahaja tahan lama tetapi juga enak rasanya.